Lebih suku juta keluar-masuk negara sejak pintu sempadan dibuka

0
9
Khairul Dzaimee Daud

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) merekodkan sebanyak 252,730 pengembara keluar-masuk melalui pintu-pintu utama sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April hingga 4 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, jumlah itu melibatkan 126,392 ketibaan dan 28,301 perlepasan warganegara Malaysia manakala 55,121 ketibaan dan 42,916 perlepasan pengembara warga asing.

“Pelawat tertinggi direkodkan dari lima negara iaitu Singapura seramai 65,165, Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485).

“Pintu masuk negara yang mencatatkan jumlah pergerakan warga asing tertinggi adalah Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan 160,818 pengembara, KLIA (38,407), Kompleks Sultan Abu Bakar Link Kedua (53,113), klia2 (11,712) dan Bukit Kayu Hitam (6,980),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah kemasukan dan keluar pelawat juga direkodkan di pintu masuk Padang Besar, Perlis; Bukit Kayu Hitam, Kedah; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan pintu masuk Sungai Tujoh, Sarawak.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut menjelaskan bahawa pengeluaran Pasport Antarabangsa Malaysia juga mencatatkan peningkatan mendadak yang mana bagi tempoh 1 hingga 4 April 2022 sebanyak 12,923 naskhah pasport dikeluarkan di semua Pejabat Imigresen seluruh negara.

Jumlah pasport dikeluarkan dijangka terus meningkat berikutan orang awam memanfaatkan pembukaan sempadan bagi tujuan melancong keluar negara dan mengerjakan umrah.

Katanya, dalam tempoh 1 April hingga Isnin lalu, pergerakan keluar masuk warga asing mencatatkan peningkatan 76.4 peratus manakala pengeluaran pasport meningkat 38.2 peratus berbanding tempoh sama pada Mac 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here