‘Lepas tikam belakang, Muhyiddin minta sokongan jadi PM semula’ – dakwa Dr Mahathir

0
38
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berjumpanya dan meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tidak diberitahu mengapa Ahli Parlimen Pagoh itu meminta sokongannya.

“Beliau mahu saya memberikan sokongan kepadanya dalam usaha untuk jadi perdana menteri sekali lagi,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu beliau mengadakan satu sidang media, di sini hari ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu sekali gus mengesahkan laporan media sebelum ini yang melaporkan Muhyiddin bertemunya, baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada mengusulkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pertemuan antara Muhyiddin dan Dr Mahathir berlangsung kira-kira dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir dilaporkan sebuah portal berkata, beliau tidak tahu bagaimana Pejuang dapat membantu Bersatu berikutan parti itu tidak memegang banyak kerusi Parlimen.

“Saya tak tahu tetapi dia minta saya (sokong). Kami (Pejuang) tak kuat, kami tiada wang, tapi dia minta kami sokong” katanya.

Dr Mahathir berkata, Pejuang belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, namun membayangkan beliau tidak bersetuju dengannya.

“Saya tak tahu nak kata apa (kepada Muhyiddin). Saya tak jadi perdana menteri sebab Muhyiddin. Dia tikam belakang saya.

“Sekarang orang yang dia tikam belakang itu, tak mati lagi,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here