LHDN agih sumbangan kepada rumah kebajikan, asnaf dan anak yatim

0
79

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan duit raya daripada Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Nizom Sairi, kepada anak-anak yatim.

CYBERJAYA– Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyumbang wang sebanyak RM5,000 kepada 10 buah rumah kebajikan bagi membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut LHDN, selain daripada pemberian sumbangan kepada rumah kebajikan, LHDN turut memberi sumbangan berupa duit raya kepada 45 orang anak yatim dan asnaf dalam majlis berbuka puasa bersama Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa di Ibu Pejabat LHDN di sini semalam.

“Antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan berkenaan ialah Rumah Anak Yatim Sungai Kantan, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Rumah Bakti al-Kausar, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim UMMI Selangor, Pusat Jagaan Mesra Assalam, Rumah Amal Limpahan Kasih, Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah dan Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Nizom Sairi berkata, dengan mengambil semangat kemuliaan bulan Ramadan, LHDN akan terus berusaha meningkatkan peranannya sebagai pentadbir cukai langsung di negara ini.

“Aktiviti-aktiviti teras pentadbiran cukai seperti penaksiran, pemungutan, audit, siasatan, pengesanan, pendidikan cukai dan khidmat pelanggan tetap diberikan keutamaan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Hal ini amat penting bagi memastikan
perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan tidak terganggu serta menjamin kemapanan kutipan hasil negara,” katanya.

Sementara itu, Yamani Hafez dalam ucapannya memuji usaha murni LHDN dalam meraikan golongan yang memerlukan itu.

“Semoga sedikit bantuan ini akan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here