Macau Scam mula sasar akaun Tabung Haji mangsa

0
30
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Sindiket Macau Scam kini mensasarkan mangsa yang mempunyai akaun Tabung Haji yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, setakat ini pihaknya telah mengesan 65 kes seumpama itu melibatkan kerugian berjumlah RM3,599,275.46.

Mohd. Kamarudin berkata, taktik baharu itu dikesan apabila mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada individu tidak dikenali yang menyamar sebagai anggota pihak berkuasa.

“Kemudahan fasiliti perbankan internet Tabung Haji yang dihubungkan dengan bank-bank konvensional yang lain telah membolehkan perkara ini berlaku.

“Sindiket ini terlebih dahulu akan membuat panggilan dan menakutkan mangsa dengan dakwaan terlibat dalam aktiviti jenayah dan tunggakan kad kredit dan untuk tujuan siasatan mangsa perlu mendedahkan maklumat perbankannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd. Kamarudin, susulan pendedahan maklumat perbankan itu, mangsa bukan sahaja kehilangan duit dalam akaun bank konvensional kepada sindiket itu tetapi juga duit dalam akaun Tabung Haji yang dihubungkan dengan bank konvensional berkenaan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan masing-masing dan menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 untuk sebarang nasihat dan maklumat lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here