Malaysia dapat 14,306 kouta jemaah haji

0
30

CYBERJAYA – Sebanyak 14,306 kouta diperuntukkan untuk jemaah haji di negara ini pada tahun ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad, hari ini.

Idris dalam satu pengumuman yang disiarkan secara langsung di Facebooknya petang ini berkata, jumlah itu merupakan 45 peratus daripada kouta tahunan yang berjumlah kira-kira 31,600.

Jumlah itu katanya adalah sebahagian daripada 1 juta jemaah yang dibenarkan Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini, melibatkan pengurangan sebanyak 40 peratus.

Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa syarat baharu yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi antaranya jemaah berusia di bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19, lepas ujian Covid-19 72 jam sebelum berlepas dan mengambil suntikan Pneumokokal.

“Ketetapan ini adalah langkah berjaga-jaga demi keselamatan jemaah haji dari seluruh dunia.

“Daripada keseluruhan jumlah 1 juta jemaah, 80 peratus adalah untuk jemaah luar yang mana sebelum ini hanya 75 peratus sahaja,” katanya.

Berikutan itu Idris berkata, beliau telah mengarahkan Tabung Haji (TH) supaya membuat persiapan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

“Ini adalah satu berita baik buat umat Islam Malaysia setelah dua tahun menunggu untuk menunaikan rukun Islam kelima akibat wabak.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru semua umat Islam yang menerima panggilan untuk menunaikan haji pada tahun ini supaya bersedia dari segi ilmu, kesihatan, kewangan, rohani dan jasmani.

Dalam pada itu, kadar bayaran tetap mengerjakan haji akan dijangka diumumkan esok.

“Jika tiada aral melentang, TH akan umumkan bayaran baharu tetapan pada Jumaat, esok hari,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here