Maqis rampas 28 tan daging kerbau dari India

0
29
Gambar hiasan.

KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India kerana didapati tidak mematuhi syarat import dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang di sini Isnin lalu.

Maqis dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pemeriksaan rutin yang dijalankan mendapati pengimport yang membawa masuk daging tersebut gagal mempamerkan logo halal.

“Pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan logo halal pada kotak dagangan yang dikehendaki seperti mana yang dinyatakan dalam syarat permit import yang diluluskan.

“Kesemua daging kerbau sejuk beku sebanyak 1,120 karton yang dianggarkan bernilai RM322,565 ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Maqis merampas daging sejuk beku seberat 28 tan dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang.

Maqis bekata, penguatkuasaan undang-undang akan diperluaskan di semua pintu masuk negara untuk memantau setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara.

Jelasnya, ia penting untuk memastikan setiap tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit serta bahan cemar.

“Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import Maqis menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta sama.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here