MBPP lancar operasi banteras e-skuter 

0
19
Pengguna e-skuter yang menunggang di jalan raya ditahan pegawai MBPP

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengadakan operasi di sekitar Georgetown, di sini, malam tadi, dengan memberi tumpuan kepada penggunaan e-skuter secara berbahaya di atas jalan raya.

MBPP dalam satu kenyataan di Facebook berkata, operasi antara 11 malam hingga 2 pagi itu diadakan susulan aduan mendakwa sekumpulan remaja menaiki e-skuter secara melulu di Lebuh Pantai, di sini, 2.24 pagi beberapa hari lalu.

“Pada masa ini, penggunaan e-skuter di atas jalan raya adalah di bawah tanggungjawab sendiri dan ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“MBPP tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendalinya dan pemantauan aktiviti e-skuter giat dijalankan demi keselamatan orang awam.

“MBPP akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan jalan raya selamat kepada semua pengguna jalan raya,” katanya.

Di samping itu, MBPP juga menasihati orang awam dan pengunjung di negeri ini supaya tidak menyewa serta menaiki skuter elektrik atau e-skuter berikutan penggunaannya di jalan raya adalah dilarang.

“e-skuter yang bersifat mikro mobiliti hanya digunakan di atas siar kaki awam atau satu kawasan yang diasingkan dari jalan raya,” katanya lagi.

Terdahulu, isu penggunaan e-skuter di atas jalan raya semakin berleluasa dan satu mesyuarat bagi menangani isu ini sudah diadakan antara MBPP,PDRM dan JPJ termasuk tindakan penguatkuasaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here