Menteri Agama, Jakim tiada hak beri kenyataan keputusan fatwa, MKI – titah Sultan Sharafuddin

0
297
Sharafuddin of Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai sebarang hak untuk mengeluarkan apa jua kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pengerusinya, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, sebarang kenyataan adalah di bawah bidang kuasa pengerusi jawatankuasa berkenaan dan Majlis Raja-Raja.

“Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

“Jakim hanya bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 April lalu, Jakim dalam satu kenyataan mengesahkan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Sheikh Nazim al-Haqqani bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurut Jakim tarekat tersebut didapati menyeleweng daripada ajaran Islam oleh MKI kali ke-48 pada 3 April 2000.

Bagaimanapun, bulan lalu Mufti Selangor dalam satu kenyataan berkata Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyah Syeikh Nazim Al Haqqani telah disahkan tidak bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, Keputusan ini disokong oleh semua mufti-mufti yg bersidang ketika muzakarah Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Berhubung isu tarekat terbabit, baginda yang juga Sultan Selangor bertitah keputusan muzakarah telah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari tahun lalu.

“Butiran penuh keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April 2022,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here