Menteri Luar harus bertanggungjawab sepenuhnya – Anifah Aman

0
14
Anifah Aman

CYBERJAYA – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan menyelaras lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan negara dengan menteri yang berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kekurangan.

Katanya, sebagai kelaziman, menteri luar bertanggungjawab memastikan persediaan dilakukan terlebih dahulu apabila ada lawatan rasmi perdana menteri ke luar negara.

“Beliau (menteri luar) sepatutnya berada di lokasi ketibaan terlebih dahulu sebelum kedatangan perdana menteri bagi memastikan segala persiapan dipenuhi.

“Jika sebagai menteri luar, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekurangan seperti yang berlaku ketika lawatan perdana menteri ke UAE baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, Saifuddin juga tidak sepatutnya bersetuju dengan keputusan memanggil semula dua diplomat negara
sekiranya menteri luar tidak dapat berada di lokasi ketibaan.

Bahkan Anifah juga mengakui ragu-ragu bagaimana diplomat kanan dan berpengalaman boleh terlepas pandang mengenai butiran penting, terutamanya apabila ia melibatkan perdana menteri

“Secara peribadinya, saya akan mengendalikan situasi dengan lebih berbeza dan akan mengarahkan siasatan dalaman dijalankan terlebih dahulu.

“Meskipun Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memanggil pulang dua diplomat negara di atas kegagalan penyelarasan urusan pentadbiran dan logistik lawatan tersebut adalah perkara biasa, namun tindakan memanggil semula (diplomat) tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa.

Tambahnya, tindakan memanggil balik dua diplomat negara di UAE hanya akan memberi imej buruk terhadap negara seolah-olah menggambarkan Malaysia tidak mampu mengendalikan lawatan penting melibatkan ketua negara.

“Insiden seperti itu jarang berlaku. Sekiranya berlaku, situasi seperti itu dapat ditangani terlebih dahulu oleh menteri luar,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang atas kegagalan menyelaras urusan lawatan rasmi perdana menteri pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Menurut Wisma Putra, tindakan itu diambil kerana kedua-dua ketua perwakilan tersebut didapati gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan itu, berdasarkan Prosedur Operasi Tetap bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan perdana menteri di Dubai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here