‘Menteri Luar perlu bertanggungjawab’ – Khaled Nordin

0
40

CYBERJAYA – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sepatutnya bertanggungjawab penuh di atas kejadian yang menimpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan bukannya meletakkan kesalahan itu di atas bahu petugas diplomatik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apa yang berlaku semasa lawatan Perdana Menteri itu adalah sesuatu yang sangat dikesali.

“Menyalahkan segalanya kepada diplomat kita adalah sangat tidak profesional. Menteri Luar Negara harus mengambil tanggungjawab terhadap semua yang berlaku.

“Segala kejadian yang berlaku di Dubai adalah masalah yang terbit dari kegagalan beliau (Saifuddin) dalam memimpin dasar luar Malaysia yang aktif, bebas dan progresif serta memperjuangkan kepentingan antarabangsa Malaysia secara strategik.

“Apapun alasan Wisma Putra, kegagalan ia merancang dan mengurus lawatan sepenting ini adalah sangat memalukan,” kata Khaled dalam satu paparan di laman Facebook miliknya hari ini.

Jelas Khaled, Perdana Menteri yang sedang dalam rangka lawatan sulungnya sebuah negara Timur Tengah, tidak wajar melalui apa yang beliau lalui.

“UAE adalah negara yang sangat meraikan tetamu dan sudah pasti, jika kita menggunakan segala sumber dan kekuatan jaringan persahabatan kita dengan mereka, perkara yang berlaku itu tidak akan terjadi.

“Wisma Putra gagal memastikan beliau (Perdana Menteri) diberikan penghormatan sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin utama negara dan pemimpin penting sebuah negara Islam,” kata Khaled lagi.

“Semenjak 2018, keterlihatan negara dan peranan antarabangsa Malaysia semakin mengecil. Ia adalah ‘a new normal’ yang asing dengan dasar luar Malaysia yang aktif sebelum ini.

“Malaysia nyata memerlukan kepimpinan baru yang lebih kompeten di Kementerian Luar Negeri. Prestasi semasa Menteri Luar tidak sesuai dengan pengalaman, kedudukan dan kepentingan global Malaysia,” jelas Khaled lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here