Mi tonggek viral lauk sotong berulat didapati dimasak, disimpan di lokasi lain sebelum dijual di bazar – KKM

0
262
Gerai Mi Tonggek yang diarahkan tutup di Bazar Putrajaya di Presint 3 Putrajaya semalam

CYBERJAYA – Gerai yang menjual mi tonggek di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 dekat sini yang tular selepas lauk sotong dipenuhi ulat diarahkan tutup berikutan didapati tidak bersih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengarahkan penutupan terhadap gerai yang menjual mi tonggek di bazar Ramadan itu semalam.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil selepas BKKM menjalankan siasatan dan arahan penutupan itu mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Pemilik gerai perlu mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Selain itu, kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja yang didapati tidak mengambil suntikan antitifiod,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiga sampel turut diambil di gerai terbabit bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing.

“Siasatan oleh pihak KKM juga mendapati peniaga itu mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar berkenaan.

“KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis itu,” katanya.

Berkenaan aduan pencemaran kuih limas, beliau memaklumkan, KKM sudah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terbabit bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini melalui Operasi Ramadan 2022 yang sudah dijalankan di seluruh negara, sebanyak 4,362 premis bazar Ramadan diperiksa.

“Sebanyak 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Di samping itu, sebanyak 178 sampel makanan juga sudah diambil untuk dianalisis,” katanya.

Katanya, peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“KKM menasihatkan orang ramai supaya membeli makanan di premis makanan yang bersih. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM di pautan, www.facebook.com/bkkmhq.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here