[VIDEO] MP Sepang tak berhasrat haramkan e-skuter di Cyberjaya, mahu tambah baik peraturan

0
101
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd. Hamid Hussain

CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) akan meneliti semula peraturan penggunaan e-skuter susulan timbul isu pemanduan secara merbahaya sehingga menyebabkan berlaku beberapa insiden tidak diingini termasuk kemalangan di jalan raya di sini baru-baru ini.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Hamid Hussain, pihaknya akan meneliti semula dari sudut peraturan dan laluan yang dibenarkan untuk menggunakan kenderaan jenis e-mobiliti itu sebelum penguatkuasaan undang-undang di ambil.

MP Sepang tak berhasrat haramkan e-skuter di Cyberjaya, mahu tambah baik peraturan.

“Kita sedia maklum yang pengunaan e-skuter adalah dilarang di jalan raya dan orang ramai yang menggunakan e-skuter telah diberitahu untuk tidak menggunakan di jalan raya sebelum menaiki e-skuter melalui paparan yang tertera di aplikasi kenderaan itu.

“Oleh itu kita akan sediakan program dan mengemas kini laluan yang mana tidak bersambung akan disambungkan serta menggunakan papan tanda amaran bagi mengingatkan pengguna jalan raya bahawa di sini terdapat pengguna e-skuter dan perlu memandu mengikut had laju yang telah ditetapkan.

“Buat masa sekarang ini kita akan didik mereka untuk menggunakan e-skuter ini secara berhemah dan penguatkuasaan itu mungkin akan menjadi jalan terakhir, sekiranya kita nak saman sekarang ini masih belum sesuai,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malakat Tribune.

Baru-baru ini dalam satu laporan khas yang disiarkan oleh Malakat Tribune mendapati pengguna e-skuter itu menunggang kenderaan elektrik itu secara berbahaya di jalan raya.

Malah, dalam satu rakaman video yang disiarkan juga menunjukkan sekumpulan penunggang e-skuter itu berlumba di jalan raya sehingga hampir menyebabkan kemalangan dengan kenderaan lain.

Dalam pada itu, mengulas lebih lanjut, Hamid berkata, susulan laporan yang tular itu satu pertemuan telah diadakan antara pihak MP Sepang dengan wakil syarikat e-skuter dan pihak syarikat terbabit mengambil maklum mengenai isu itu serta akur dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MP Sepang.

“Kami telah meminta mereka untuk memastikan aktiviti e-skuter ini digunakan untuk tujuan baik supaya tidak membahayakan pegguna e-skuter dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan pengguna e-skuter itu di Cyberjaya untuk memastikan keselamatan terlebih dahulu dan mengikut laluan yang telah ditetapkan agar tidak berlaku kemalangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here