Muhyiddin ingatkan Perdana Menteri rujuk PN terlebih dahulu tarikh pembubaran Parlimen

0
78
Perdan Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan bersama pimpinan PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam

CYBERJAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen dengan pihaknya.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, peringatan itu dibuat ketika perjumpaan dengan Perdana Menteri, di Sri Perdana semalam.

“Dalam pertemuan ini Perdana Menteri menekankan hubungan kerjasama dengan PN dalam kerajaan persekutuan dan memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara.

“Saya juga antara lain mengingatkan Perdana Menteri bahawa PN sebagai parti utama yang membentuk kerajaan persekutuan hendaklah dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, pertemuan itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Star, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Katanya, selain itu pihaknya turut membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here