Notis larangan operasi sebelum 3 petang hanya libatkan peniaga Islam – MDPT

0
15
GAMBAR HIASAN

IPOH – Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) menjelaskan, notis larangan menjalankan operasi perniagaan premis makanan sebelum pukul 3 petang sepanjang bulan Ramadan hanya melibatkan peniaga beragama Islam.

Yang Dipertua MDPT, Mohd. Syukri Azaari bagaimanapun berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis pembatalan surat itu berkuat kuasa Khamis lepas, berikutan timbulnya salah faham dalam kalangan masyarat umum berkenaan notis berkenaan.

“Surat seumpama ini dikeluarkan setiap tahun oleh pihak MDPT sempena ketibaan bulan Ramadan yang ditujukan kepada pengusaha premis makanan beragama Islam dan tidak melibatkan mereka yang bukan beragama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, pihak MDPT memohon maaf di atas sebarang kekeliruan yang dialami oleh mana-mana pihak berhubung surat berkenaan.

Bagaimanapun, tambahnya, kesemua pengusaha premis makanan dan pelanggan dinasihatkan untuk menghormati sensitiviti masyarakat tempatan ketika menjalani ibadah puasa dalam bulan yang mulia ini.

Beberapa hari lepas, notis larangan tersebut yang turut menyatakan kegagalan mematuhi arahan adalah menjadi kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Perak Tengah) 2017, menjadi tular di media sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here