Pandu lorong motosikal, pemandu Honda Civic dipenjara dan denda

0
40
Video tular kereta Honda Civic dipandu di laluan motosikal bulan lalu

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta Honda Civic yang tular memandu di laluan motosikal bulan lalu dihukum penjara lima hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Memetik laporan Utusan Online, Majistret Amanina Mohamad Anuar menjatuhi hukuman penjara dan denda itu terhadap R. Rhuobanraj, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut dia boleh dipenjara selama empat bulan. Tertuduh membayarnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang memandu kereta Honda Civic berwarna putih didakwa memandu kenderaan tersebut dengan cara melulu dan merbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kesalahan itu dilakukan di Lebuhraya Persekutuan di sini pukul 5.30 petang pada 17 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan ketika kejadian, dia tidak sengaja memasuki laluan motosikal.

“Saya tiada niat jahat untuk potong laluan, saya tersilap masuk dan hanya dapat keluar selepas dimaklumkan oleh seorang pakcik (penunggang motosikal) yang kemudian menunjukkan jalan keluar,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd. Rauf memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan tertuduh adalah serius yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal.

Pada 19 Mac lalu, media melaporkan tindakan pemandu sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih memasuki laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Wisma CIMB Jalan Pantai Baharu mengundang padah apabila dia ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, sebaik menerima video tular yang dikongsi pada halaman DashCam Owners Malaysia di Facebook, pihaknya terus menjalankan usaha mengesan pemilik kenderaan itu.

Menurut polis berdasarkan siasatan, pemandu tersebut mendakwa telah menggunakan laluan motosikal kerana tidak menyedari keretanya memasuki laluan yang salah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here