
CYBERJAYA – Pas menyambut baik keputusan UMNO yang mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, keputusan itu diambil
sebagaimana buat masa ini Pas mendokong serta menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri kesembilan itu.
“Pas mengharapkan agenda perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.
“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas juga yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan Persekutuan dengan pembangkang akan terpakai sehingga pembubaran Parlimen
Katanya, perjanjian itu akan membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata.
Semalam, UMNO mengumumkan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selesai bermesyuarat semalam.