PATI ludah penguatkuasa DBKL ditahan polis

0
110
Tangkap layar sedutan video PATI yang sedang berniaga di sebuah kaki lima bertindak meludah dan menghambur kata kesat terhadap penguatkuasa DBKL ditahan.

KUALA LUMPUR – Peniaga warga asing yang bertindak meludah penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di hadapan Affin Bank Pusat Bandar Utara di sini ditahan polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt. Heisham Harun, ketika kejadian kira-kira 6.41 petang pihak penguatkuasa DBKL sedang melakukan rondaan dan mereka telah nampak dua orang warga asing sedang berniaga di kawasan kaki lima bank tersebut.

“Oleh yang demikian, pihak penguatkuasa DBKL telah bertindak menyita barangan mereka. Namun keadaan menjadi kecoh apabila kedua-dua warga asing tersebut enggan bekerjasama dan bertindak melakukan provokasi yang agresif dengan menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam gambar sehingga menyebabkan telifon bimbit jatuh dan rosak.

“Mereka juga bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah ke arah muka salah seorang penguatkuasa DBKL serta bertindak mengoyakkan baju sendiri dan menuduh perbuatan tersebut dilakukan oleh pihak penguatkuasa DBKL bagi mengelakkan dirinya dari ditangkap.

“Ekoran dari kejadian tersebut seorang lelaki dan seorang perempuan warga asing masing-masing berusia 34 dan 38 tahun yang terlibat dalam insiden ini telah ditahan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditangkap itu tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Katanya, suspek kini telah direman di IPD Sentul bermula hari ini sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana telah menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang. Jika anda mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes jenayah yang berlaku bolehlah menyalurkannya dengan cara menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian, 03-40482222,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here