PBT di KL, Labuan dan Putrajaya digesa wujudkan infrastruktur jalan kenderaan mikromobiliti 

0
17
Kenderaan mikromobiliti yang disediakan di bahu jalan

CYBERJAYA – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya digesa untuk membuat kajian terperinci dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jalan alternatif khas perlu diwujudkan buat semua pengguna kenderaan mikromobiliti, sepertimana terdapat laluan khas untuk motosikal, basikal dan pejalan kaki.

“Apapun ia memerlukan kajian menyeluruh terlebih dahulu sebelum cadangan tersebut diimplementasi di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga bersetuju dengan tindakan kerajaan melarang kenderaan mikromobiliti dari digunakan di atas jalan berkuat kuasa serta merta semalam.

“Larangan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 itu bertujuan menghindari dari bahaya kepada pengguna.

“Dengan keadaan jalan raya yang sering mengalami kadar penggunaan yang tinggi saban hari, maka kenderaan sebegini mampu menjemput risiko kemalangan di jalan raya.

“Kuala Lumpur adalah antara kawasan yang memiliki kadar penggunaan tinggi terhadap kenderaan mikromobiliti ini adalah Kuala Lumpur.

“Di Putrajaya dan Labuan juga tidak terkecuali, ramai yang memilih menggunakan kenderaan jenis Moped (mempunyai 2/3 roda dengan punca kuasa dari sumber elektrik) untuk bergerak ke tempat kerja dan lain-lain destinasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna jalan raya di Wilayah Persekutuan untuk terus mengamalkan sikap berhemah dan kekal mematuhi peraturan jalan raya demi kesejahteraan bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here