Pemergian Ku Deen kehilangan besar kepada negara – PM

0
14
Bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang menghembuskan nafas terakhir 8.43 malam tadi.

Perdana Menteri berkata, Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati.

“Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.

“Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, selain Menteri Pertahanan (1987-1990), antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Allahyarham dalam kerajaan termasuk Menteri Hal-Ehwal Luar Negara, Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Penerangan.

Dalam arena politik pula, katanya, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here