Pemilihan PKR: Farhash sah cabar MB Selangor

0
31
Farhash Wafa Salvador

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador sah akan bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Gombak menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak memaklumkan, sudah menghantar pencalonannya semalam untuk bertanding jawatan peringkat cabang terbabit.

“Setakat ini, perebutan bagi kerusi berkenaan hanya dua orang, saya dan Menteri Besar (Selangor),” katanya kepada memetik laporan BH Online hari ini.

Katanya lagi, PKR juga mahu merebut semula kerusi Parlimen Gombak daripada penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas Timbalan Presiden parti yang kini menyertai Bersatu.

“Saya mahu menang kerusi itu (Cabang Gombak) dan menyatukan ahli PKR serta penduduk di kawasan berkenaan. Saya mahu susun gerak kerja untuk membantu ahli dan rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada turut berhasrat bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat, Farhash berkata, beliau masih berbincang dengan rakan, tetapi akan membuat keputusan esok.

Gombak antara cabang PKR yang menjadi tumpuan pada pemilihan parti yang akan berlangsung bulan depan kerana penyandang ketuanya adalah Pengerusi MPN merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Hasrat mencabar Amirudin sudah dimaklumkan Farhash pada Februari lalu, dengan alasan beliau diminta bertanding di situ oleh sebahagian ahli akar umbi yang mahukan peremajaan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penamaan calon bagi peringkat cabang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu, manakala bagi enam jawatan tertinggi parti, iaitu presiden, timbalan dan empat naib presiden, selain kepemimpinan tertinggi sayap PKR akan diadakan esok.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengesahkan bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson mencabar Timbalan Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan, yang juga penyandang ketua cabang terbabit, Datuk M Ravi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here