Pengeluaran khas KWSP dipercepatkan sebelum Aidilfitri – Zafrul

0
63
Zafrul Abdul Aziz

CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan bahawa semua pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diselesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, KWSP telah memberikan komitmen dan berusaha menyelesaikan 5.3 juta permohonan pencarum yang melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM40.1 bilion.

“Ini satu jumlah yang sangat besar dan sukar untuk KWSP menyalurkan jumlah sebesar ini dalam masa yang singkat.

“Kerana itulah sejak awal lagi KWSP dah maklumkan penyaluran dibuat secara berperingkat,” katanya dalam siaran video di Facebooknya malam tadi.

Zafrul berkata, setakat ini ramai daripada pemohon sudah menerima bantuan tersebut selepas ia dipercepatkan daripada tarikh sebelum ini iaitu 20 April.

“Ada dapat pada 20 April, 21 April dan sebagainya. Memang bukan semua yang dapat pada 18 April.

“Jadi, jangan risau kalau permohonan anda belum diluluskan dan penyaluran belum dibuat.

“KWSP telah memberi komitmen, mereka akan berusaha menyelesaikan semua permohonan sebelum Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

KWSP sebelum ini mengumumkan akan membuat bayaran bagi pengeluaran khas secara sekali pembayaran kepada pencarum yang layak pada 20 April ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here