Pengunaan e-skuter di jalan raya dilarang, boleh didenda RM2,000 – Polis

0
77
Pengguna e-skuter di Cyberjaya menjadikan jalan raya untuk beriadah sehingga melupakan keselamatan diri dan pengguna lain

CYBERJAYA – Penggunaan e-skuter di jalan raya merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kassim Karim, pada 23 Oktober 2020, akta tersebut telah dipinda dengan memasukkan tafsiran kenderaan mikromobiliti bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas penggunaannya di jalan raya.

“Ke arah memperincikan tindakan penguatkuasaan, maka kaedah lalu lintas jalan Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu 2021 telah diwartakan dan mula berkuat kuasa pada 17 Disember 2021.

“Kaedah ini meletakkan e-skuter sebagai jenis personal mobility device (PMD) di bawah kategori kenderaan mikromobiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, hanya kenderaan mikromibiliti jenis basikal sahaja dibenarkan di atas jalan raya.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan mengambil pendekatan bagi menjalankan advokasi untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya penggunaan e-skuter tanpa kawalan.

Katanya, pihak polis menyeru pengguna e-skuter tidak menggunakannya di atas jalan raya.

“JSPT akan berhubung segera dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil supaya masyarakat peka akan peruntukan undang-undang yang telah berkuatkuasa ini.

“Sebelum tindakan penguatkuasaan yang berkesan dapat dijalankan demi menjamin keselamatan semua pengguna di jalan raya,” katanya.

Minggu lalu, dalam satu laporan khas yang dibuat Malakat Tribune di Cyberjaya mendapati pengguna e-skuter bukan sahaja menggunakan kenderaan itu untuk beriadah di atas jalan raya, malah ada yang menggunakannya untuk berlumba.

Situasi itu menyebabkan majoriti penduduk dan pengguna jalan raya di Cyberjaya bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini dan meragut nyawa terhadap pengguna jalan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here