
GEORGE TOWN – Seramai 7,114 kakitangan awam di negeri ini akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,200 yang akan mula dibuat pada 27 April ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian bantuan itu diputus dan diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MKK) yang diadakan semalam.
Beliau berkata, pembayaran sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200 itu membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM7.35 juta kepada Kerajaan Negeri.
“BKK ini adalah penghargaan khas kepada semua penjawat awam yang telah mencurahkan keringat dalam menempuh tempoh pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Selain itu, ia juga sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pemberian bantuan itu termasuk bayaran RM300 kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dan guru serta kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang.
Manakala bagi guru-guru tahfiz, guru pondok serta guru tadika Islam (TADIS), masing-masing akan menerima RM200.