Perlu gunakan lunas undang-undang sekat karya melampaui batas

0
9
Annuar Musa menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menggunakan lunas undang-undang bagi menyekat hasil industri kreatif yang melampaui batas.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, siasatan perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang terlibat.

“Kita tak boleh sekat sebab nanti orang saman kita. Kalau nak sekat kena berdasarkan undang-undang. Kementerian dan menteri tak boleh sekat. Yang boleh sekat mahkamah,” kata Annuar ketika diminta mengulas mengenai muzik video lagu bertema hari raya yang dihasilkan oleh usahawan kosmetik kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

“Kalau boleh sekat, macam-macam saya dah sekat, tetapi kita ada akta, maknanya kalau langgar undang-undang, baru boleh ambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, malam tadi.

Terdahulu, muzik video ‘Kelepok Raya’ nyanyian usahawan tersebut mengundang rasa kurang senang apabila didakwa tidak menjaga kemuliaan bulan Ramadan dengan memaparkan sekumpulan lelaki yang mengenakan solekan serta melakukan tarian mengghairahkan, dan menjurus kepada sifat LGBT.

Siang tadi, Aliff Syukri telah hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung klip muzik video tersebut.

Kata SKMM, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here