Perlu terus berhati-hati walaupun SOP berkaitan Covid-19 dilonggarkan – PM

0
10

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai supaya terus berhati-hati walaupun prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 akan dilonggarkan bermula 1 Mei ini.

Beliau berkata, kerajaan tetap menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka walaupun di kawasan terbuka jika terdedah kepada suasana bersesak antara satu sama lain, dan suasana itu akan dapat dilihat dengan jelas ketika aktiviti ziarah kubur pada Aidilfitri nanti yang melibatkan ahli keluarga yang ramai.

“Tiada lagi mandatori pakai pelitup muka di kawasan terbuka, maknanya hari raya nanti untuk menziarahi kubur misalnya tidak perlu pakai pelitup muka lagi kecuali di tempat tertutup di bawah Akta 342.

“Walaupun kelonggaran diberi kita masih menggalakkan rakyat berhati-hati walaupun kebebasan diberikan tidak bermakna lagi kita tidak melakukan kawalan kendiri untuk melindungi keluarga dan diri kita,” kata Perdana Menteri kepada wartawan selepas majlis berbuka puasa bersama warga petani, penternak dan nelayan di kediaman rasminya di Seri Perdana, malam tadi.

Jelas beliau, pemakaian pelitup muka tetap digalakkan terutamanya apabila berlakunya kesesakan orang ramai.

“Saya percaya melawat kubur nanti ramai yang hadir terutama ahli keluarga dan suasana berhimpit tidak salah dan tidak wajib penjarakan sosial.

“Solat sunat Aidilfitri juga tiada halangan tapi wajib pakai pelitup muka kerana Covid-19 masih ada di sekeliling kita dan rakyat kena hidup dengan virus itu,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here