Permohonan lesen teksi, kereta sewa dibuka semula 18 April

0
9
WEE KA SIONG

CYBERJAYA – Kementerian Pengangkutan mengumumkan permohonan Lesen Kelas Teksi dan Kereta Sewa akan dibuka semula kepada individu awam di bawah perniagaan Milikan Tunggal dan Perkongsian bermula 18 April hingga 30 Jun tahun ini.

Kata menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, keputusan membuka permohonan lesen teksi dan kereta sewa itu dibuat susulan permintaan daripada orang awam dan pemandu teksi sedia ada yang berhasrat memiliki lesen teksi sendiri.

Untuk rekod, permohonan tersebut telah dibekukan dibekukan sejak 2016.

“Dalam usaha merancakkan lagi industri teksi, maka Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah bersetuju supaya permohonan Lesen Kelas Teksi dan Kereta Sewa dibuka kepada individu awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Ka Siong, sebagai permulaan kuota kelulusan Lesen Teksi dan Kereta Sewa ditetapkan sebanyak 1,000 lesen bagi tahun ini dan pihak APAD akan menganalisa semua permohonan yang diterima selepas tarikh tutupnya.

Sekiranya jumlah permohonan yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan melebihi kuota, pihak APAD akan mempertimbangkan kuota tambahan yang sewajarnya.

Tambahnya, APAD juga telah memansuhkan keperluan syarat pengalaman memandu teksi atau kereta sewa antara satu hingga tiga tahun yang termaktub di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) sebelum ini bagi permohonan itu.

Bagaimanapun katanya, syarat-syarat lain yang terpakai sebelum ini masih dikenakan bagi memastikan penyertaan pemohon adalah kekal berdaya saing dan berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang.

“Dalam masa yang sama, pengumuman ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada pemain-pemain baharu terutamanya generasi muda untuk menceburi sektor pengangkutan awam sekali gus merancakkan lagi ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu amat komited dalam usaha mewujudkan persekitaran industri teksi yang berdaya saing dan perkhidmatan yang mesra pengguna serta selari dengan peningkatan teknologi semasa ke arah memberikan perkhidmatan yang terbaik lagi berkualiti.

Permohonan Lesen Teksi dan Kereta Sewa akan dibuka di semua Pejabat Wilayah dan kaunter APAD di cawangan JPJ negeri.

Maklumat lanjut mengenai syarat permohonan boleh didapati dan dimuat turun melalui laman portal rasmi APAD.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here