PH tetap bertegas supaya RUU Anti Lompat Parti diluluskan

0
7
Parlimen

CYBERJAYA – Pakatan Harapan (PH) tetap bertegas supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan sebagai syarat utama di dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).

Menurut Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, PH juga akan menyokong pindaan Perlembagaan yang akan dibuat pada sidang khas Parlimen 11 April ini.

“Majlis Presiden PH mengulangi pendirian tegas kami bahawa meluluskan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama di dalam MoU.

“Amatlah jelas bahawa PH tidak akan berkompromi dalam perkara ini. Kita memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.

“Justeru, PH akan menyokong pindaan Perlembagaan itu pada sidang khas Parlimen 11 April ini,” katanya.

Namun begitu katanya, syarat utama ialah draf RUU itu perlu disegerakan dan perkara itu telah ditegaskan melalui Jawatankuasa Pemandu MoU yang telah bermesyuarat semalam.

Malah, katanya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyampaikan pendirian PH itu kepada Perdana Menteri semalam.

“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti tersebut akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh Sidang Khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April.

“Kami turut menggesa agar menteri yang bertanggungjawab membentang pindaan Perlembagaan pada 11 April ini turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas kedua nanti.

“PH percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi berparlimen akan dapat mula dipulihkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here