PM beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa 

0
27
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menenangkan balu kepada Allahyarham bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, Puan Sri Rohani Parkash (tengah) di Presint 10 hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke kediaman Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa di Presint 10, Putrajaya bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Setiausaha Negara itu di sini hari ini.

Beliau tiba di rumah Allahyarham kira-kira jam 9.42 pagi dan sempat bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham sebelum meninggalkan kediaman tersebut pada kira-kira pukul 10.06 pagi.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Datuk Seri Sallehhuddin Hassan.

Dalam pada itu, menurut Zuki, beliau merasakan satu kehilangan yang cukup besar kerana Allahyarham banyak memberikan sumbangan kepada negara.

“Semasa saya memulakan kerjaya perkhidmatan awam Allahyarham adalah guru saya yang banyak mengajar saya dan jika mahu menceritakan momen indah bersamanya banyak yang hendak diceritakan,” katanya.

Allahyarham Ali Hamsa, 66, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13 selama enam tahun bermula dari 2012, meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland pada 21 April lepas.

Penerbangan yang membawa jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 pagi dan jenazah dibawa ke rumah kira-kira pukul 8.26 pagi.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini untuk diberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here