Polis cari lelaki pukul rakan dengan rantai besi, paksa potong jari kelingking

0
63
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Chong Guang Ming (gambar) diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222.

KLANG – Pihak Polis Diraja Malaysia sedang mencari seorang lelaki kerana dipercayai membelasah rakannya menggunakan rantai besi, dan memaksa mangsa memotong jari kelingking.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, pihaknya sedang menggiatkan usaha mengesan suspek yang dikenali dengan nama Chong Guang Ming, 49.

Hoong Fong berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.

Polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu menerbitkan video dalam sosial media dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum untuk melakukan sesuatu kesalahan.

Kejadian itu dikesan selepas polis mengesan satu posting video yang tular di Facebook yang memaparkan seorang lelaki memaksa mangsa memotong jari sendiri dan dipukul dengan rantai besi.

Susulan penularan video itu, mangsa telah tampil di Balai Polis Klang pada pukul 1.04 pagi tadi.

“Dalam aduannya, mangsa memberitahu pada 13 November tahun lalu, lebih kurang jam 8.30 malam semasa berada di rumah majikannya, dia telah bertengkar mulut dengan suspek seorang lelaki tempatan.

“Dalam pertengkaran itu suspek telah menampar mangsa dua kali dan mencabarnya untuk memotong jari jika mangsa tidak mempunyai kaitan dengan kematian teman wanita mangsa,” kata Hoong Fong.

Bagi membuktikan kebenaran, mangsa telah mengambil sebilah pisau dan memotong jari kelingking sebelah kiri.

“Ekoran tindakannya itu, mangsa pengsan dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Namun kes itu tidak dilaporkan kepada polis,” kata Hoong Fong lagi.

“Siasatan mendapati polis tidak menolak kemungkinan penglibatan suspek dalam kongsi gelap berdasarkan pelakukan suspek dalam rakaman video yang tular itu,” katanya.

Difahamkan, kesemua insiden itu berlaku pada November tahun lalu dan semalam di Taman Chi Liung disebabkan suspek marah selepas rakan wanitanya yang juga kekasih mangsa mati dengan cara membunuh diri pada 9 November tahun lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here