Polis siasat akaun TikTok muatnaik kandungan berunsur provokasi

0
28

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap satu akaun media sosial TikTok kerana dipercayai digunakan untuk tujuan provokasi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, akaun yang menggunakan nama ‘syierabahari_’ itu didapati memuatnaik ulasan provokasi berkenaan satu isu keagamaan yang berlaku di luar negara.

“PDRM mengesahkan bahawa kenyataan berhubung larangan laungan azan menggunakan pembesar suara bukan dikeluarkan di Malaysia, sebaliknya berlaku di Pune, India.

“Arahan itu dibuat oleh Presdien Maharashtra Navnirman Sena (MNS) dan dilaporkan dalam portal The New Indian Express pada 17 April lepas,” kata Abd. Jalil dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Abd. Jalil, pemilik akaun ‘syierabahari_’ bagaimanapun didapati telah menaikkan paparan ulasan berbentuk provokasi dan berkemungkinan boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di Malaysia.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum (dan) tindakan tegas tampa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here