Polis tahan 11 pelajar suspek kes gaduh di asrama

0
26

CYBERJAYA – Seramai 11 pelajar di sebuah sekolah berasrama di Kuala Nerus, Terengganu ditahan bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan seorang pelajar sekolah berkenaan.

Menurut laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata, kesemua suspek yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 12 tengah hari hingga 1 petang semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Khamis minggu lepas, difahamkan beberapa suspek dikatakan telah memukul dan menyepak mangsa yang berusia 14 tahun.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan dan lebam pada bahagian peha kiri dan kanan,” katanya.

Abdul Rahim menambah, berikutan itu mangsa telah membuat laporan polis kelmarin pada kira-kira pukul 9.40 malam.

Susulan laporan itu, kesemua suspek telah ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi siasatan lanjut.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham yang menjadi antara punca tercetusnya insiden itu.

Abdul Rahim kemudiannya berkata, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here