Ramadan itu hadiah untuk manusia, macam ‘Sales’ di pasar raya – Coach Fadzil

0
14
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Umat Islam perlu merebut kesempatan beramal pada bulan Ramadan kerana keberkatan dan ganjaran yang hebat seumpama ia adalah satu ‘hadiah’ yang ditawarkan Allah kepada hamba-Nya.

Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, kebaikan yang tersedia pada bulan Ramadan dari siang hingga ke malam telah dijanjikan Allah untuk mereka menghidupkan bulan itu dengan segala amalan baik.

Beliau berkata, kelebihan Ramadan juga wajar dilihat sebagai ‘sales’ atau potongan harga luar biasa yang ditawarkan di pasar raya kerana sudah pasti tidak akan dilepaskan.

“Ramadan juga adalah ujian Allah kepada manusia kerana Dia tahu sekiranya manusia ditawarkan dengan ganjaran maka mereka yang benar-benar beriman akan lebih bersemangat.

“Jadi yang paling penting kita kena ada niat, kena hadir dalam hati kita bahawa kita buat sesuatu amalan itu kerana Allah, mengharapkan pembalasan dari Allah,” katanya dalam kuliyah subuh di Malakat Mall pagi ini.

Mohd Fadzil berkata, bulan Ramadan juga adalah satu kenikmatan yang mana Allah berikan peluang kepada hamba-Nya untuk memperkuatkan ketakwaan dan menebus semula kesilapan di masa lampau.

“Kita lihat sahaja ganjaran luar biasa mengerjakan solat dhuha yang bersamaan dengan pahala tiga kali mengerjakan haji.

“Itulah bukti betapa Allah sayang dekat kita dan mahu kita merebut peluang yang istimewa ini untuk membuktikan ketakwaan kepada-Nya,” katanya.

Justeru katanya, kesempatan mendapatkan pahala dan ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan Allah itu sudah pasti amat merugikan jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Rugi kita jika Ramadan ini kita tidak dapat menangis kepada Allah, tidak merebut peluang untuk mendoakan ibu bapa kita.

“Bahkan saya juga baru terbaca bahawa anak-anak derhaka yang telah kematian ibu bapa mereka masih berpeluang untuk menebus kesalahan mereka melalui amal dan doa.

“Ada hadis Nabi supaya kita banyakkan berdoa ,, maka doa itu akan menghapuskan dosa kita kepada ibu ayah kita. Selain itu boleh juga infa’kan pahala amal ibadat kepada ibu bapa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here