RUU Anti Lompat Parti ditangguhkan: Zahid persoal sama ada wujud gunting dalam lipatan dalam Kabinet

0
38
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan sama ada wujud gunting dalam lipatan dalam barisan Kabinet sehingga menyebabkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan.

Beliau berkata, kelewatan itu menunjukkan seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik daripada kerajaan untuk mengubal undang-undang berkenaan.

“Dikatakan juga Kabinet hari ini memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan “antilompat” di masa akan datang.

“Dengan kata lain, perundangan “antilompat” akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali, kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan. Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?’ soalnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, perkembangan itu sudah pastinya mengecewakan rakyat Malaysia yang sudah lama menanti kewujudan undang-undang itu dapat dilaksanakan segera.

“UMNO ialah parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa lompat parti apabila terdapat ahli parlimennya yang melompat parti apabila Barisan Nasional (BN) tewas.

“Malah ada juga meskipun masih dalam BN ketika itu bernada musuh politik UMNO dengan mengharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti.

“Saya sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan membentang dan meluluskan undang-undang ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kelewatan itu juga memberikan satu tamparan hebat terhadap PH yang dilihat masi belum bersedia berdepan dengan Pilihan Raya Umum jika Parlimen dibubarkan.

Sehubungan itu, katanya, kini sudah tiba masanya UMNO yang berada dalam kerajaan lebih tegas menangani isu itu sebelum menambahkan lagi kemarahan rakyat yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here