Satu ditutup, kami buka dua lagi di Melaka – Coach Fadzil

0
1424
Premis baharu yang bakal menempatkan operasi Malakat Mall yang baharu, menggantikan operasi di Masjid Tanah.

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco akan membuka dua lagi premis perniagaan di negeri Melaka iaitu di Alor Gajah dan Melaka Tengah susulan penutupan dan perpindahan operasi Malakat Mall di Masjid Tanah.

Presidennya, Mohd Fadzil Hashim berkata, Malakat Eco dalam proses meluaskan perniagaan di Melaka sebagai membalas budi rakyatnya yang memberi sokongan selama lebih setahun Malakat Mall bertapak di Masjid Tanah.

Beliau berkata, bagi menggantikan Malakat Mall di Masjid Tanah, pihaknya akan membuka semula pusat beli-belah itu di Alor Gajah manakala sebuah lagi pasar raya milik kumpulan perniagaan itu, Malakat Grocer akan dibuka di Melaka Tengah.

“Kami masih lagi mengekalkan lokasi yang tidak jauh dari Masjid Tanah kerana menerima sokongan yang baik daripada seluruh warga Masjid Tanah dan penduduk di sekitarnya.

“Harapan kami adalah untuk memulakan operasi dalam masa sebulan, mengambil kira permintaan ramai yang mahu mula berbelanja sebelum Hari Raya,” katanya.

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, Malakat Mall yang baharu itu akan beroperasi di lima unit rumah kedai di Taman Rembia Murni, bersebelahan dengan Klinik Kesihatan Rembia.

“Walaupun premis ini mempunyai keluasan separuh daripada bangunan lama (20,000 kaki persegi), ia akan dimaksimumkan sebaik-baiknya.

“Malakat Mall di Alor Gajah ini nanti akan menempatkan pasar raya Malakat Grocer, Kafe Tea Amo, DIY Malaya dan banyak lagi.

“Bagi lot Malakat Grocer pula, kami akan menyediakan ruang khas yang akan menempatkan produk-produk sejuk beku,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, selain tawaran sewaan, pihaknya juga ditawarkan peluang untuk memiliki lima lot bangunan dua tingkat itu melalui perjanjian sewa beli.

“Selepas mempertimbangkan tawaran itu, kami bersetuju untuk membeli premis ini kerana ia masih dalam kemampuan kami.

“Insyallah selepas ini kami akan cuba mengutamakan konsep sewa-beli bagi lokasi-lokasi operasi Malakat Grocer. Kita tidak mahu sewa, takut kena halau,” selorohnya.

Mengenai pembukaan Malakat Grocer di Melaka Tengah, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dengan Madrasah Muhibbin untuk mengenal pasti lokasi.

“Untuk yang ini, kami pun sasarkan pembukaan dalam masa sebulan. Doa semoga usaha ini dipermudahkan.

“Setakat ini kami mempunyai jumlah produk yang lebih daripada mencukupi untuk diagihkan,” katanya.

Malakat Mall Masjid Tanah yang mula beroperasi pada Mac tahun lalu terpaksa dipindah ekoran beberapa masalah dengan pemilik aset berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here