‘Scammer’ guna nama Rahman, Zubaidah menyamar sebagai pegawai LHDN untuk perdaya mangsa

0
1777
Kad nama palsu scammer yang menyamar sebagai pegawai LHDN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai agenai tersebut untuk memperdayakan mangsa.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, pihaknya telah mengesan satu sindiket penipuan yang menggunakan nama pegawainya bagi membuat perolehan serta pembelian aset daripada sebuah syarikat perabot.

“Sindiket ini telah menyediakan dua kad nama palsu yang menggunakan nama pegawai LHDN bagi membolehkan mereka membuat pesanan pembelian peralatan perabot untuk kegunaan di pejabat LHDN.

“Bagi meyakinkan lagi mangsa, sindiket ini turut menyediakan dokumen pesanan pembelian palsu bagi tujuan yang tidak bermoral ini.

“Dokumen tersebut mengandungi butiran jenis-jenis peralatan perabot yang ingin dipesan serta turut dilengkapi dengan tandatangan palsu pegawai LHDN,” katanya.

Dokumen palsu oleh scammer yang menyamar sebagai LHDN

Dalam pada itu, katanya, pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, e-mel mahupun surat dokumen yang meragukan.

Katanya, orang ramai diminta mendapatkan pengesahan daripada LHDN terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi dalam talian.

“Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here