Seret anjing guna MyVi, polis sudah ambil keterangan

0
26
Tangkap layar rakaman video mengenai kejadian menarik anjing menggunakan kereta yang dipercayai berlaku di Taman Sri Skudai Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita bersama anak lelakinya dipanggil polis untuk memberi kenyataan berhubung kejadian ‘seret’ anjing dari sebuah kereta Perodua Myvi yang tular sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, polis telah mendapatkan keterangan daripada pasangan anak-beranak berkenaan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku di Taman Sri Skudai itu.

Beliau berkata, soal siasat mendapati dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu itu, anjing yang dipercayai milik wanita berusia 61 tahun dan anaknya 34 tahun tersebut diperlakukan demikian atas faktor kebersihatan haiwan berkenaan.

“Anjing berkenaan dikatakan telah lama hilang dan dijumpai semula dalam keadaan kotor dan berkutu di seluruh badannya.

“Oleh kerana itu, mereka beranggapan tidak sesuai untuk membawa masuk haiwan berkenaan ke dalam kereta.

“Wanita berkenaan bagaimanapun telah menggunakan tali pengikat leher untuk menarik anjing berkenaan dari tingkap depan kereta dalam keadaan kereta itu di pandu perlahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rupiah berkata, menurut wanita berkenaan, perjalanan membawa pulang anjing dari tempat ia ditemui ke rumah mereka juga tidak jauh dan hanya melibatkan laluan dalam taman perumahan.

Katanya, kedua-duan mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diperoleh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan/Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122,” katanya.

Dalam video yang tular di TikTok dan beberapa lagi media sosial semalam, orang ramai mengecam tindakan penumpang Perodua MyVi yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here