Sindiket jual-beli kad ATM ditumpas, 10 individu ditahan

0
22
AA Anbalagan

SERDANG – Polis berjaya menumpaskan kegiatan ‘pemerdagangan’ kad mesin juruwang automatik (ATM) dan kad kredit oleh sindiket penipuan yang menawarkan imbuhan antara RM1,500 sehingga RM1,800 kepada penjual.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, sindiket yang dipercayai beroperasi di Puchong, Gombak dan Kuala Lumpur sejak setahun lalu itu berjaya dikesan dalam operasi, baru-baru ini.

Anbalagan berkata, polis menahan 10 individu yang berusia 25 hingga 39 tahun termasuk dua orang wanita yang dipercayai bekerja dengan sindiket berkenaan. Turut dirampas adalah barang-barang yang dipercayai milik kumpulan sindiket.

“Sebanyak lapan telefon bimbit, 38 kad ATM, kad Sim MYTPG Singapura (20 keping), wang tunai (RM3,957) dan kereta dirampas dalam operasi itu.

“Kad-kad ATM yang dibeli kemudian dijual pula kepada pihak scammer dengan harga RM3,000,” katanya dalam sidang media hari ini.

Anbalagan berkata, sebahagian daripada pemilik kad dipercayai menjual kad ATM mereka selepas terperdaya dengan iklan pinjaman wang dalam laman sosial yang meminta mereka menyerahkan kad ATM sebagai cagaran.

“Kad-kad tersebut dipercayai dijual kepada sindiket penipuan dengan harga tinggi iaitu kira-kira RM2,500 sekeping,” katanya.

Beliau berkata, kad-kad berkenaan kemudian digunakan oleh scammer sebagai ‘akaun keldai’ untuk penerimaan wang daripada mangsa mereka.

Bagaimanapun katanya, ramai yang tidak menyedari risiko sebenar menyerahkan kad bank kepada pihak lain sehingga ia digunakan dalam aktiviti jenayah.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan sindiket yang menawar untuk membeli kad ATM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here