TH siap sedia urus jemaah haji

0
7

CYBERJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) sudah mengadakan persiapan logistik dan penginapan bagi menguruskan jemaah haji Malaysia di Arab Saudi pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (gambar) berkata, ketika ini pihaknya hanya menunggu kuota haji yang akan diumumkan.

“Lazimnya penerbangan pertama akan berlepas pada 1 Zulkaedah untuk membawa jemaah ke Tanah Suci Makkah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada rumah jagaan warga emas Al-Fattah di Semenyih, hari ini.

Mengenai jangkaan pengumuman kuota haji, Idris berkata, setakat hari ini pihaknya masih belum mendapat sebarang jawapan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai perkara itu.

“Kalau ikutkan, jangkaannya adalah pada awal Ramadan, namun sekarang dah pertengahan Ramadan, kita pun tak boleh jangka mungkin mereka pun sedang menghadapi masalah tersendiri di sana,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan hanya satu juta jemaah haji tempatan dan antarabangsa di bawah usia 65 tahun dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here