Tiada kelonggaran pelitup muka buat masa ini – KKM

0
10
Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang untuk menamatkan amalan pemakaian pelitup muka sebagai langkah pencegahan Covid-19 walaupun banyak negara telah tidak mewajibkannya.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, dalam aspek pencegahan Covid-19, kerajaan meletakkan dua kepentingan utama iaitu program vaksinasi dan pemakaian pelitup muka.

Katanya, selain langkah yang telah dilaksanakan oleh kementerian dan agensi, individu juga perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan tersendiri dalam mendapatkan perlindungan.

“Perlindungan terbaik yang boleh kita dapat adalah vaksinasi. Sebab itu bagi sesiapa yang masih belum mendapatkan dos penggalak dan belum menerima vaksin untuk anak-anak, buatlah secepat mungkin.

“Bagaimanapun saya berbeza sedikit dengan amalan di negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebagainya saya sudah lama ‘membuang’ pemakaian pelitup muka.

“Di Malaysia, kita akan kekalkan pemakaian pelitup muka, terutama di kawasan tertutup bagi mencegah jangkitan,” katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook kementerian itu hari ini.

Khairy berkata, pertimbangan itu dibuat berdasarkan kajian dan nasihat yang dilakukan oleh pakar yang mengesahkan pemakaian pelitup muka adalah perlindungan terbaik daripada jangkitan.

Pada masa yang sama, Khairy turut menasihatkan umat Islam yang hadir menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau supaya mengekalkan pemakaian pelitup muka dengan betul.

“Kita minta umat Islam supaya pakai mask betul-betul, jangan pakai bawah dagu,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan turut mengesyorkan pemilik-pemilik premis dan majikan melabur dalam
meningkatkan sistem pengudaraan di tempat kerja.

“Ini melibatkan saluran ventilasi atau penapisan udara
yang berkualiti tinggi yang akan banyak membantu mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here