Tidak sampai separuh hotel di Melaka ada sijil halal

0
42
Pelbagai tawaran menarik disediakan oleh pihak hotel untuk meraih keuntungan tanpa mengambil kira aspek halal untuk pelanggan Islam.

MELAKA – Umat Islam di negeri ini diingatkan berwaspada terhadap tawaran pakej berbuka puasa atau bufet Ramadan kerana hanya 14 daripada 50 buah hotel yang menawarkan pakej itu didapati mempunyai sijil halal.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, semakan yang dilakukan pihaknya mendapati hanya 14 hotel masih mempunyai sijil sah halal sehingga tahun 2024.

Justeru beliau mengingatkan bahawa hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil halal yang sah tidak boleh sesekali menggunakan istilah yang boleh memperdayakan umat Islam terutama yang berkaitan dengan berbuka puasa.

“Ini termasuk penggunaan perkataan Ramadan, Iftar, Jom Berbuka Puasa atau mana-mana frasa yang merujuk kepada makanan yang dimakan orang Islam,” katanya.

Gambar hiasan

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Plastik Hitam Bersendawa di sini hari ini.

Beliau berkata, premis hotel yang tidak mempunyai sijil halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM10 juta.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan, tiada sebarang tangkapan dan notis dikeluarkan namun JAIM, katanya, akan terus memantau 80 lokasi panas yang sering menjadi tumpuan kumpulan ponteng puasa.

“Daripada jumlah itu, Melaka Tengah merekodkan 35 lokasi, Jasin (38) selain empat di daerah Alor Gajah.

“Lokasi tumpuan kaki ponteng puasa ini termasuklah warung kampung, premis kosong dan kedai kopitiam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here