Tuduhan Ustaz Wadi Anuar tidak berasas

0
3147
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan ada mengeluarkan peraturan ‘mendahulukan tangan sebelum lutut’ ketika sujud seperti yang tular dalam satu video penceramah bebas.

Jabatan itu berkata, sekiranya dakwaan seperti yang tular dalam video yang menggunakan nama Wadi Anuar (seperti tertulis di dalam video berkenaan) cuba mengaitkan tuduhan itu dengan Perlis, maka tuduhan tersebut tidak berasas.

“Peraturan seperti itu tidak pernah dikeluarkan di negeri ini dan jika ditujukan kepada Negeri Perlis jelas satu tuduhan jahat yang tidak berasas.

“Jika ada pendapat mana-mana penceramah di Perlis, itu bukan peratusan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kenyataan yang dibuat oleh penceramah melalui video itu bertujuan menimbulkan permusuhan sesama Muslim tanpa alasan yang sah.

“Jika diandaikan hal itu memang wujud, maka tidak sepatutnya juga dijadikan isu permusuhan sesama Muslim dalam perkara khilaf feqah seperti ini,” katanya.

Justeru, pihak berkuasa agama itu menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan sesetengah penceramah yang bersifat suka menfitnah, membuat cerita bohong untuk menimbulkan kebencian dan salah sangka sesama Muslim.

“Lebih mendukacitakan jika hal ini sanggup dilakukan di bulan Ramadan yang mulia ini. Golongan ini termasuk dalam al-nammam iaitu pembawa api permusuhan dan kebencian sesama Muslim,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here