UM belum luluskan lokasi Debat Perdana Najib-Anwar

0
8

CYBERJAYA – Debat Perdana di antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei depan masih belum mendapat kelulusan lokasi daripada pihak pengurusan Pejabat Naib Cancelor Universi Malaya.

Menurut Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), permohonan rasmi secara bertulis telah dihantar beberapa minggu lalu selepas pengumuman rasmi dibuat oleh wakil-wakil pendebat.

“Pihak kami memohon jasa baik pihak Universiti mempertimbangkan kelulusan bagi penganjuran debat ini dalam kadar segera.

“Penganjuran debat ini akan mencerminkan kepada pembudayaan diskusi ilmiah serta diskusi perihal pembuatan dasar yang perlu dimartabatkan serta komitmen Universiti sendiri terhadap perihal berikut.

“Pihak Kesatuan percaya, telah tiba masanya nafas politik baharu dan segar untuk dibawa selaras dengan perkembangan wadah politik nasional masa kini dalam meningkatkan keterlibatan serta kecelikkan politik anak-anak muda khususnya golongan mahasiswa,” kata KMUM dalam satu kenyataan, hari ini.

KMUM menjelaskan, tiada wadah lain lebih sesuai dalam merealisasikan cita-cita tersebut selain daripada menganjurkan acara yang seperti ini di kampus Universiti Malaya.

“Bagi meraikan pengamalan demokrasi serta politik nilai melangkaui perbezaan fahaman politik, KMUM sekali lagi menegaskan sokongan penuh kami terhadap mana-mana penganjuran debat serta apa-apa program yang bertunjangkan diskusi kritis secara matang dan substantif.

“Ianya juga termasuk Debat Perdana antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar,” katanya.

Sebelum ini, Isham Jalil yang mewakili Najib dan Fahmi Fadzil (wakil Anwar) telah mengumumkan bahawa Debat Perdana itu akan diadakan pada 12 Mei depan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada pukul jam 9 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here