Warga asing tidak pakai ‘mask’, tunjuk jari tengah ditahan polis

0
32
Tangkap layar dari video TikTok berdurasi 18 saat yang menunjukkan perlakuan seorang warga asing menunjukkan isyarat lucah di dalam sebuah pasar raya semalam.

KUALA LUMPUR – Lelaki warga asing yang sebelum ini mengeluarkan menunjuk isyarat jari tengah kepada pengawal keselamatan selepas ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah pasar raya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek warganegara Kanada berusia 44 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, malam tadi.

Ashari dalam kenyataan berkata, suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.

“Kertas siasatan berhubung kes akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan langkah pencegahan Covid-19 semasa berada di tempat awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Media semalam melaporkan polis mengesan seorang lelaki warga asing yang bertindak menunjukkan isyarat lucah ketika ditegur tidak memakai pelitup muka dalam pasar raya di Jalan Ampang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here