Yadim kesal video raya angkat budaya LGBT disebarkan

0
79

CYBERJAYA – Yayasan Dakwah Malaysia (Yadim) kesal dengan penyebaran sebuah video muzik Aidilfitri nyanyian seorang usahawan kosmetik terkenal baru-baru ini.

Yang Di Pertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, video itu secara jelas mempromosi budaya songsang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), sekaligus mencemar kesucian bulan Ramadan yang memasuki fasa 10 malam terakhir.

“Tumpuan umat Islam yang sewajarnya diberikan untuk memburu Lailatul Qadar dalam tempoh ini seakan cuba diganggu dengan penyebaran video muzik bertaraf sampah seperti ini,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, usahawan yang terkenal konsisten dalam mengeluarkan kandungan-kandungan media yang menyinggung sensitiviti rakyat sebelum ini dilihat telah melampaui batasan norma murni masyarakat di Malaysia.

“Video muzik yang mengangkat budaya LGBT… bukan sahaja dipandang jijik oleh ajaran Islam, bahkan menyongsang arus budaya sebenar masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

“Justeru YADIM menyeru pihak berkuasa terutamanya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mempunyai bidang kuasa yang jelas dalam mengawal selia kandungan siber di negara ini untuk mengambil tindakan yang paling tegas terhadap penyebaran video muzik tersebut,” katanya lagi.

Nasrudin turut menambah, video sedemikian tidak wajar dihidangkan sebagai halwa hiburan hari raya kita di Malaysia terutamanya kepada anak-anak dan golongan muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here