Warga Myanmar larikan kanak-kanak diberkas

0
26
Lelaki warga Rohingya yang disyaki menculik seorang kanak-kanak di Batu 3, Jalan Gambang, berjaya diberkas orang awam diserahkan kepada pihak polis.

KUANTAN – Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamat seorang kanak-kanak daripada diculik ketika sedang bermain pasir di halaman rumah di Batu 3, Jalan Gambang di sini, pagi semalam.

Suspek yang merupakan seorang lelaki warga Myanmar berjaya diberkas selepas orang ramai mendengar jeritan ibu mangsa yang meminta tolong sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu dikatakan bertindak menutup muka mangsa dengan kain putih dan sempat melarikan mangsa sejauh kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Beliau berkata, ibu mangsa memberitahu, suspek menghampiri rumahnya yang tidak berpagar semasa dia sedang menyiram pokok bunga dan melarikan anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana mahukan anak selepas tidak dikurniakan cahaya mata selepas lapan tahun berkahwin,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Suspek dipercayai datang ke Malaysia sejak tiga bulan lepas dan tinggal berhampiran jeti nelayan berhampiran kampung itu serta menyara hidup dengan mengambil upah membantu kerja nelayan.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here