84 petugas haji berlepas ke Tanah Suci hari ini

0
19
Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman ketika memberi amanat kepada petugas haji ke Tanah Suci bagi melaksanakan persediaan operasi haji 2022 di Hotel Movenpick and Convention Centre, Sepang.

SEPANG – Seramai 84 petugas haji dari kumpulan kedua berlepas ke Tanah Suci hari ini bagi melaksanakan operasi haji 2022.

Menurut Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, tahun ini pihaknya menghantar sebanyak 340 petugas haji berbanding tahun sebelum ini sebanyak 650 petugas.

“Walaupun petugas haji berkurang pada tahun ini namun petugas kami tetap akan berikan komitmen yang tinggi untuk operasi haji tahun ini.

“Petugas kami juga akan bersedia dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kepada jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

Petugas haji kumpulan kedua Tabung Haji membaca ikrar sebelum berangkat ke Tanah Suci hari ini bagi melaksanakan persediaan operasi haji 2022 di Hotel Movenpick and Convention Centre, Sepang.

“Pemilihan petugas haji pada tahun ini adalah sama seperti jemaah haji yang mana kami menitikberatkan aspek kesihatan dan pengalaman untuk petugas haji,” katanya selepas Majlis Pelepasan petugas haji di Hotel Movenpick, di sini.

Mengulas lanjut mengenai cabaran yang mungkin dihadapi oleh petugas haji, beliau berkata, setelah dua tahun tidak beroperasi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka.

Seorang petugas haji kumpulan kedua Tabung Haji bersalaman bersama ahli keluarga sebelum berangkat ke Tanah Suci hari ini bagi melaksanakan persediaan operasi haji 2022 di Hotel Movenpick and Convention Centre, Sepang.

“Pelbagai situasi baharu yang bakal kita hadapi seperti pergerakan jemaah tabung haji, peraturan baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“TH telah buat perancangan tertentu antaranya kami telah membawa lebih banyak petugas haji yang berpengalaman dan boleh bertugas di mana-mana sektor.

“Dengan itu, (setiap petugas) ada multi-tasking dan fleksibiliti untuk kita gerakkan petugas mengikut keperluan semasa,” tambahnya lagi.

Petugas haji yang berlepas hari ini adalah terdiri daripada sektor kebajikan dan kesihatan selepas kumpulan pertama yang membabitkan 13 petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas pada 28 Mei yang lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here