AP import bahan makanan dimansuhkan serta-merta – PM

0
76
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan permit import (AP) bahan makanan dari luar negara ke Malaysia berkuatkuasa serta-merta.

Sehubungan itu, katanya, ia kini terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport makanan dari luar negara.

“Saya percaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan umumkan secara terperinci, kita bersetuju tadi tiada AP import lagi untuk bahan makanan.

“Ia terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport bahan makanan masuk ke negara kita. Jadi kalau dulu ada AP lembu, AP daging (dan) macam-macam lagi, mulai hari ini kita tiada AP lagi,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 “Semarak Aidilfitri, Keluarga JPM dirai” di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai cadangan yang dibuat oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan kerajaan mengaktifkan semula Majlis Khas Jaminan Makanan, beliau berkata, MAFI telah diminta untuk mengemukakan perancangan jangka panjang dan jangka pendek dengan segera bagi mengurangkan kesan yang dialami akibat krisis perang Rusia-Ukraine.

Jelas Perdana Menteri, Kabinet hari ini juga turut meminta MAFI mengambil tindakan segera dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang meningkat ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan menyedari situasi ketika ini menyebabkan faktor kenaikan kos sara hidup yang dialami agak sukar dielakkan disebabkan krisis dan isu global termasuk inflasi yang melanda dunia ketika ini.

“Seperti yang kita tahu ini fenomena global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine yang memberi kesan kepada seluruh dunia.

“Kalau kita tengok negara lain dari segi inflasinya terus meningkat, hanya kita Malaysia sahaja yang kekal di paras 2.2 peratus. Negara lain seperti Amerika Syarikat sudah sampai ke tahap 8.7 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan bahawa sekumpulan kartel industri ternakan ayam merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes terhadap kerajaan yang dikatakan lambat membayar subsidi harga ayam sebanyak 60 sen, beliau berkata, MAFI perlu mempercepatkan proses pembayaran sekiranya benar berlaku sedemikian.

“Saya dimaklumkan mereka belum buat tuntutan daripada penternak. Saya tak tahu salah siapa, jumlah yang dikeluarkan itu memang agak kecil berbanding peruntukan yang sedia ada.

“Saya dapat laporan ada prosedur-prosedur tertentu yang agak melewatkan jadi kita minta supaya MAFI percepatkan dari segi pembayaran,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here