Ayam sakit, PPANS sahkan tiada bekalan ayam esok

0
126
Ayam segar

SHAH ALAM – Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang esok disebabkan ribuan anak ayam mati akibat sakit.

Pengerusi PPANS, Idrus Zainal Abidin berkata, permasalahan tersebut menyebabkan timbul masalah terhadap bekalan ayam.

“70 peratus atau libatkan ribuan anak ayam dari reban saya mati disebabkan sakit. Masalah sama turut dihadapi oleh kebanyakan penternak di Selangor.

“Saya tidak pasti penternak-penternak lain. Jika ada pengeluaran pun mungkin dalam kuantiti yang tidak banyak,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan ‘Selangor tiada ayam’ yang memetik sumber dari Pasar Borong Selangor pada esok.

Dalam pada itu, Idrus berkata, isu bekalan ayam bukan hanya dihadapi di Malaysia sebaliknya di dunia.

Katanya, harga bekalan melonjak tinggi termasuk di China dan Thailand.

Beliau berkata, untuk mendapat bekalan ayam dengan harga RM6 atau RM7 sekilogram ketika ini adalah mustahil.

“Malah kami penternak turut dibebani dengan kenaikan kos dedak yang empat kali naik harga dalam tempoh 10 bulan.

“Tidak timbul isu kartel atau sorok bekalan sebaliknya masalah bekalan ayam telah dibangkitkan sejak pandemik Covid-19, ” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini isu tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan melalui pertemuan dengan menteri namun permasalahan tersebut tidak diselesaikan secara serius.

“Kami penternak terbeban dengan kos operasi dan hutang di bank. Kami tak dapat nak penuhi kehendak rakyat dengan pelbagai tekanan dan peraturan yang dikenakan ke atas kami.

“Di Selangor kami hadapi kesukaran untuk membina reban ayam, macam-macam syarat dan cukai diletakkan. Harga ayam nak murah tapi apa yang kerajaan buat untuk itu,” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here