
CYBERJAYA – Selepas kira-kira tiga hari terputus bekalan, ayam segar kembali dijual di Malakat Grocer di pusat beli belah Malakat Mall di sini, hari ini.
Menurut pekerja yang bertugas di bahagian segar pasar raya itu, bekalan ayam bulat itu sampai pada hari ini dan dijual pada harga RM8.90 bagi sekilogram.
“Untuk bekalan ayam yang sampai hari ini ada dalam 70 ekor, tapi ikutkan masih tak cukup sebab pembekal nak pastikan semua kedai dapat sama rata.
“Untuk pembelian pula, pembelian ayam hanya terhad dua ekor sahaja bagi setiap seorang pembeli.
“Sekiranya ayam bulat habis kita juga ada sediakan alternatif lain untuk pembeli membeli ayam kampung yang juga ada dijual di Malakat Grocer,” katanya kepada Malakat Tribune.
Dalam pada itu, tinjauan Malakat Tribune mendapati orang ramai dilihat mengambil kesempatan dengan membeli ayam mengikut kuantiti yang telah ditetapkan.

Sebelum ini, krisis kekurangan bekalan ayam segar menyebabkan sebilangan pengguna dan penjual buntu untuk mendapatkan bekalan ayam segar dalam pasaran ketika ini.