Azizulhasni nafi penyakit jantung dialaminya disebabkan kesan ubat, gaya hidup

0
213
Datuk Azizulhasni Awang

CYBERJAYA – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menafikan penyakit berkaitan jantung yang dialaminya berpunca daripada kesan ubat-ubatan ataupun disebabkan gaya hidupnya yang sentiasa terbabit dengan latihan berintensiti tinggi.

Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu, penyakit jantung yang dialaminya itu merupakan kecacatan semula jadi sejak dari dalam kandungan lagi.

“Bagaimana perkara ini berlaku? Ianya adalah ‘birth defect’ atau kecacatan semula jadi sejak saya dari dalam kandungan lagi.

“Jadi tak masuk akal jika ada daripada kita nak mengaitkan dengan ubatan ataupun gaya hidup saya yang sentiasa dengan latihan berintensiti tinggi,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Kelmarin Azizulhasni mengejutkan peminat sukan negara apabila berkongsikan gambar dan kisahnya yang sedang berehat selepas menjalani pembedahan coronary artery anomalies (anomali arteri koronari).

Dalam pada itu, berkongsi mengenai masalah jantung yang dihadapinya, Azizulhasni berkata, beliau menghadapi penyakit anomali arteri koronari di bahagian kanan.

Beliau berkata, untuk jantung manusia normal, koronari arteri di bahagian kiri akan membekalkan darah kepada bahagian kiri jantung di mana terdapat ventricle kiri dan atrium kiri.

Katanya, koronari arteri di bahagian kanan pula akan membekalkan darah kepada bahagian kanan jantung yang mempunyai ventricle kanan, atrium kanan dan juga sinoatrial (SA) dan atrioventricular (AV) nodes yang mengawal ritma jantung.

Bagaimanapun, jelasnya, untuk kes yang dihadapinya, koronari arteri di bahagian kanan tidak keluar di tempat sepatutnya iaitu dibahagian kanan tetapi keluar di bahagian kiri berhampiran dengan koronari arteri di bahagian kiri.

“Bagaimana ia keluar dari belah kiri boleh mengganggu fungsi jantung saya? Korang bayangkan paip air yang keluar dari belah hujung kiri dan dibengkok ke belah hujung kanan, sudah pasti dia akan tersepit sedikit dan menganggu aliran air didalamnya kan.

“Tak cukup dengan itu, koronari arteri di bahagian kanan saya juga lalu di tempat tidak sepatutnya sebelum sampai ke bahagian kanan jantung iaitu dicelah-celah aorta dan pulmonary artery.

“Jadi koronari arteri di bahagian kanan saya sekali lagi tersepit disitu dan keadaan pembuluh darah pun sudah agak leper dan tidak normal seperti biasa.

“Lagi membimbangkan adalah kerana saya sentiasa menggunakan jantung ditahap yang tertinggi ketika latihan dan apabila denyutan berdegup kencang ianya lagi akan menghimpit saluran bahagian tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan penuh walaupun masih sihat, aktif dan cergas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here